2022

Hektar REIT’s overall portfolio occupancy remained stable at 82% in 2022 with Kulim Central achieving a commendable occupancy rate of 96%.

CEO's Letter to Unitholders from Hektar REIT's 2022 Annual Report.

Pemegang Unit yang Dihormati,

Tahun 2022 menandakan lembaran baharu bagi Malaysia apabila ia memasuki fasa endemik COVID-19 pada 1 April selepas memerangi wabak virus ini selama dua tahun. Selaras dengan pelan strategik kami, kami kekal fokus dalam memberi pulangan yang mampan kepada pemegang unit kami, sambil mengejar peluang pertumbuhan secara aktif.

Ulasan Pasaran

Aktiviti ekonomi telah meningkat apabila seluruh Malaysia beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara pada awal Januari 2022 dengan langkah pembendungan yang sudah dilonggarkan dan kebanyakan perdagangan runcit telah dibenarkan beroperasi. Pada masa penulisan, Malaysia juga telah mencapai kadar vaksinasi hampir 98% dan 90%, masing-masing untuk orang dewasa dan remaja. Kadar vaksinasi yang tinggi dalam masyarakat telah meningkatkan keyakinan pengguna dan, hasilnya, pembeli dan pelanggan mula kembali ke pusat beli-belah secara beransur-ansur.

Ekonomi Malaysia mula menyaksikan pertumbuhan pada suku pertama 2022 apabila KDNK-nya berkembang 5% tahun ke tahun berikutan pelonggaran langkah pembendungan COVID-19 yang memulihkan aktiviti ekonomi dan membawa kepada peningkatan permintaan domestik.

Malaysia, seperti beberapa negara yang lain, telah memutuskan untuk melonggarkan langkah sekatannya terhadap COVID-19 walaupun wabak ini belum diisytiharkan telah beralih kepada fasa endemik secara rasmi.

Dengan kelonggaran langkah sekatan COVID-19 termasuk pembukaan semula sempadan Malaysia ketika ia beralih ke fasa endemik pada April 2022, serta pengeluaran khas tidak melebihi RM10,000 secara sekali daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, KDNK Malaysia terus berkembang kukuh sebanyak 8.9% tahun ke tahun pada suku kedua, mendahului beberapa negara maju dan negara serantau, termasuk China (0.4%), Amerika Syarikat (1.6%), Kesatuan Eropah (4.0%) dan Singapura (4.4%).

Menurut Bank Negara Malaysia, prestasi suku kedua boleh dikaitkan dengan pengukuhan permintaan domestik yang disokong oleh pemulihan stabil pasaran buruh dan sokongan dasar yang berterusan, meskipun kesan asas yang rendah daripada Perintah Kawalan Pergerakan Penuh pada tahun 2021.

Dalam suku ketiga, KDNK Malaysia kekal berkembang kukuh sebanyak 14.2%, iaitu kadar pertumbuhan terpantas di kalangan negara-negara Asean, kerana ia menerima sokongan daripada pengembangan berterusan dalam permintaan domestik, eksport elektrik dan elektronik serta bukan elektrik dan elektronik yang teguh, sokongan dasar yang berterusan dan pemulihan kukuh pasaran buruh. Pada masa yang sama, kadar pengangguran Malaysia menyusut ke 3.6% (kadar terendah) pada September 2022 daripada 5.3% (kadar tertinggi) pada Mei 2020 semasa pandemik.

Bank Negara Malaysia meningkatkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 100 mata asas secara keseluruhan kepada 2.75% pada tahun 2022 daripada 1.75% (rekod terendah) ekoran inflasi keseluruhan dan teras yang tinggi di tengah-tengah tekanan permintaan dan kos serta perubahan langkah-langkah dasar domestik.

“Tekanan inflasi akan sebahagiannya dikekang oleh kawalan harga sedia ada, subsidi dan lebihan kapasiti dalam ekonomi. Imbangan risiko terhadap prospek inflasi pada tahun 2023 membayangkan ia akan terusmenaik dan terus tertakluk pada langkah-langkah dasar domestik berkaitan subsidi, serta perkembangan harga komoditi global yang meningkat. Faktor-faktor utama tekanan ini adalah konflik ketenteraan yang berterusan di Ukraine dan gangguan berkaitan bekalan yang berpanjangan,” jelas Bank Negara.

Industri peruncitan Malaysia pula melonjak sebanyak 96% tahun ke tahun dalam jualan runcit pada suku ketiga 2022. Retail Group Malaysia (RGM) telah menyemak semula sasaran pertumbuhan industri peruncitan tahunan untuk tahun 2022 kepada 41.6% daripada 31.7% berikutan pertumbuhan yang lebih baik daripada jangkaan pada suku ketiga dan penyemakan semula anggaran pertumbuhan untuk suku keempat.

Bagi suku keempat 2022, anggaran kadar pertumbuhan telah ditingkatkan daripada 1% (anggaran pada September 2022) kepada 6%. Kadar anggaran ini lebih rendah daripada unjuran yang dibuat oleh ahli persatuan peruncit (pada 13.9%).”

Menurut Bank Negara Malaysia, ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang pada kadar yang lebih sederhana pada suku keempat 2022. Jangkaan kadar pertumbuhan yang lebih perlahan mencerminkan persekitaran global yang lebih mencabar serta ketiadaan kesan asas.

Ulasan Portfolio

Walaupun keadaan pasaran terus mencabar, kadar penghunian portfolio keseluruhan Hektar REIT kekal stabil pada 82% pada tahun 2022, dengan Kulim Central mencapai kadar penghunian yang membanggakan iaitu 96%. Kepelbagaian portfolio kami dari segi geografi, sama ada ia dominan atau satu-satunya pusat beli-belah di bandar tertentu, telah membantu mengurangkan kesan negatif keseluruhan Hektar REIT.

Walau bagaimanapun, kami menyedari bahawa kami tidak akan lagi kembali kepada norma lama prapenularan COVID-19. Pada hakikatnya, norma lama prapenularan COVID-19 tidak lagi memadai. Kita harus mengorah langkah ke arah pemulihan yang mampan dan melengkapkan diri untuk menghadapi masa depan dan generasi pelanggan yang baharu. Kekuatan Hektar REIT datang daripada penggunaan strategi tersuai dan setempat untuk setiap aset, termasuk strategi pusat beli-belah komuniti defensif. Sebilangan besar aset di bawah portfolio kami mendapat manfaat daripada kunjungan berulang pembeli dari kawasan sekitar yang terdekat.

Trafik pelawat keseluruhan bertambah baik sebanyak 60% kepada kira-kira 21.1 juta lawatan pada tahun 2022 apabila kami memperhebatkan inisiatif pemasaran kami melalui kempen promosi yang dipacu jualan dan trafik di semua pusat beli-belah dalam portfolio kami berikutan pemansuhan pelbagai langkah pembendungan yang ketat. Sementara itu, kadar pelarasan sewa keseluruhan portfolio adalah negatif 11%, yang kami percaya adalah penurunan sementara,,ekoran usaha kami mengimbangi pelarasan sewa dan tahap penghunian. Ini adalah untuk memastikan kestabilan portfolio sewaktu kami melakukan aktiviti pencampuran semula penyewaan kami di Subang Parade dan Segamat Central, yang terjejas semasa tempoh kemuncak pandemik.

Subang Parade

Subang Parade mencatatkan kadar penghunian kira-kira 70% pada penghujung tahun 2022, disumbang oleh cabaran pasaran mikro yang dihadapi oleh pusat beli-belah di Lembah Klang akibat lebihan bekalan ruang peruncitan. Pihak Pengurusan memutuskan untuk menggunakan strategi "penghunian dahulu" dengan melaksanakan strategi semakan penyewaan untuk mengekalkan penyewa berkualiti serta menarik penyewa utama khusus baharu dan lebih banyak peruncit F&B ke pusat beli-belah.

Bak kata pepatah “Dengan Krisis, Datangnya Peluang”. Rancangan awal kami untuk Subang Parade beberapa tahun yang lalu termasuk aktiviti penambahbaikan kecil aset dan pencampuran semula penyewaan yang melibatkan penyewa utama mini, namun di tengah-tengah inisiatif kami, perubahan dan keadaan yang di luar jangkaan dalam industri peruncitan baru-baru ini mendorong kami untuk mengkaji semula strategi kami. Namun, pemulihan Subang Parade mengambil masa yang lebih lama daripada jangkaan. Situasi ini telah memberi kami lebih masa untuk mengkaji semula rancangan kami dengan mengambil kira pandanganbernas daripada pasukan kami selama dua tahun yang lepas. Walaupun Subang Parade kekal sebagai pusat beli-belah pinggir bandar, kami berhasrat untuk mengukuhkan kedudukannya dengan memberikannya nafas baharu, iaitu 'pusat beli-belah kejiranan terbaik' di kawasan itu.

Pelan pemulihan dan pembaikan baharu kami merangkumi fokus yang lebih intensif terhadap pelanggan dan komuniti. Ini dicapai melalui penerokaan dan pengenalan konsep pengalaman, rancangan pencampuran semula penyewaan yang lebih baik, kerjasama dengan pihak berkepentingan dalam komuniti dan strategi penyewaan yang lebih fleksibel untuk menarik peruncit yang baik. Kami akan meneroka tawaran dan perkhidmatan runcit khusus yang sesuai untuk melengkapi produk dan servis peruncit lain. Kami sedang meneliti inisiatif penambahbaikan aset dan kemudahan yang lebih baik yang tidak dapat kami laksanakan sebelum ini.

Setelah keadaan pusat beli-belah bertambah baik dan aktiviti pemasaran dipertingkatkan, jumlah pengunjung meningkat sebanyak 18% kepada 4.7 juta pada tahun 2022 daripada 4.0 juta pada tahun 2021. Pasukan pengurusan aset dan pasukan pengurusan hartanah kami telah bertemu dengan beberapa peruncit utama untuk meyakinkan mereka bahawa kami akan mengharungi segala cabaran bersama mereka dan bahawa kami sedang bekerja keras untuk memastikan kebimbangan mereka ditangani. Kami percaya komunikasi sebegini ialah kunci kepada hubungan baik dan pemulihan yang mampan. Sementara pemulihan keyakinan pasaran dan sentimen pengguna telah menyumbang kepada prestasi jualan yang menggalakkan dan bilangan pengunjung yang lebih tinggi, tumpuan kami pada hubungan penyewa dan pemasaran bersasar juga membawa kepada peningkatan pantas dalam kejayaan pembaharuan sewa pada separuh kedua tahun 2022, meyakinkan kami bahawa kami berada di landasan yang betul.

Mahkota Parade

Kadar penghunian Mahkota Parade kekal stabil pada kadar 87% pada tahun 2022. Di sebalik ketidaktentuan pasaran, pihak Pengurusan terus meningkatkan campuran penyewaan pusat beli-belah dengan pengenalan peruncit baharu seperti Sushi Go, Oppo, Onezo, Siam Restaurant, Gigi Coffee, Rollney, Felancy, Pierre Cardin, Vivo dan Madam Croffle pada tahun 2022, membukti bahawa Mahkota Parade semakin menjadi tarikan kepada jenama-jenama antarabangsa.

Mahkota Parade kekal sebagai destinasi membeli-belah utama di Melaka, dengan jumlah trafik sebanyak 6 juta lawatan pada tahun 2022, peningkatan yang hebat sebanyak 113% dari tahun 2021. Antara pusat beli-belah dalam portfolio Hektar REIT, Mahkota Parade dijangka akan mendapat manfaat yang paling banyak daripada kehadiran pelancong China ke Melaka berikutan pembukaan semula sempadan China pada 8 Januari 2023.

Wetex Parade & Classic Hotel

Wetex Parade, yang merupakan satu-satunya pusat membeli-belah di Muar, telah mencapai kadar penghunian yang stabil sebanyak 88% pada tahun 2022 dengan penyertaan peruncit baharu seperti Mi Store, Premium Store, Osim, Yole Yogurt, Big Apple dan Lazo Diamond. Jumlah pengunjung untuk tahun 2022 adalah 2.9 juta.

Sebagai hotel terbesar di Muar dengan kemudahan dewan acara yang terbesar, Classic Hotel Muar telah mencapai kadar penghunian yang lebih baik sebanyak 46% pada tahun 2022 daripada 23% pada tahun 2021, dengan purata kadar bilik yang lebih tinggi sebanyak RM137 pada tahun 2022 berbanding RM131 pada tahun 2021. Keputusan yang memberangsangkan ini didorong oleh pemansuhan sekatan perjalanan dan normalisasi aktiviti ekonomi dan pelancongan di sekitar bandar Muar.

Central Square

Central Square, sebuah pusat beli-belah terkemuka di Sungai Petani, telah merekodkan trafik pengunjung sebanyak 2.7 juta pada tahun 2022, sementara kadar penghuniannya susut kepada 82%. Pihak Pengurusan kekal fokus untuk menaik taraf kualiti campuran penyewa dan kedudukan Central Squaredengan kemasukan Machines, Tealive, Asama Thai Food dan I-Serve Technology & Vacations pada tahun 2022.

Kulim Central

Sejak pemerolehan pusat beli-belah ini pada 2012, penilaiannya berada pada trajektori menaik dan dijangka akan terus berkembang. Sebagai satu-satunya pusat beli-belah di Kulim, Kulim Central telah mencapai kadar penghunian yang cemerlang pada tahun 2022, melebihi 96%. Trafik pengunjungnya adalah kira-kira 2.9 juta dan kadar pelarasan penyewaannya untuk tahun 2022 adalah positif pada 22%. Kulim Central telah berjaya mencapai kadar pelarasan penyewaan tahunan yang positif selama lima tahun berturut-turut dengan purata 12%. Kesan-kesan positif daripada inisiatif peningkatan dan pengembangan aset pada 2017 berterusan sehingga hari ini, dengan kemasukan jenama baharu seperti Switch, Daboba Go, Samsung dan Myeong Dong Topokki, sekali gus meningkatkan kerancakan campuran penyewaan di pusat beli-belah. Kulim Central juga mencatatkan peningkatan yang berterusan dalam kemasukan jenama-jenama antarabangsa yang tertarik dengan kejayaan pemulihan Kulim Central.

Segamat Central

Kadar penghunian Segamat Central meningkat kepada 74% daripada 67% pada tahun 2021 dan jumlah pengunjung meningkat kira-kira 147% kepada kira-kira 1.8 juta kunjungan berbanding 700,000 lawatan pada tahun 2021. Walau bagaimanapun, pihak Pengurusan tetap berpegang teguh pada strategi "penghunian dahulu" dengan melaksanakan strategi semakan penyewaan untuk mengekalkan penyewa sedia ada serta menarik penyewa utama khusus dan lebih banyak peruncit F&B ke pusat beli-belah. Kami telah mengalu-alukan kemasukan peruncit baharu seperti Dees, In Fashion, Mi Store, Muzaina Collection, Samsung, CHK Trading dan Honor pada tahun 2022.

Ulasan Kewangan

Hektar REIT mencatatkan pendapatan yang lebih baik sejumlah RM117 juta pada tahun 2022, peningkatan sebanyak 22% berbanding dengan tahun 2021, manakala perbelanjaan operasi meningkat sebanyak 18% kepada RM59 juta. Sementara itu, Pendapatan Hartanah Bersih meningkat kepada RM59 juta, peningkatan sebanyak 25% daripada tahun 2021. Hektar REIT melaporkan keuntungan bersih sebelum cukai sebanyak RM78 juta, yang mana RM36 juta daripadanya merupakan pendapatan bersih operasi yand direalisasikan dan baki RM42 juta adalah disumbangkan oleh keuntungan yang terhasil daripada perubahan dalam nilai saksama portfolio pada tahun dalam dilaporkan ini.

Pembiayaan

Pembiayaan semasa Hektar REIT termasuk kemudahan hutang sebanyak RM551 juta, dengan 93% daripada jumlah tersebut perlu dibayar pada tahun 2024-2025, dan rancangan telah dibuat untuk mengurangkan sebahagiannya dan pusing ganti kepada tempoh matang yang lebih lama.

Nisbah keumpilan Hektar REIT berada pada 44.6% pada akhir tahun 2022 dan berada dalam had keumpilan 60% yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti.

Di sebalik prestasi ekonomi Malaysia yang kukuh, kami tetap berhati-hati dengan prospek tahun 2023 memandangkan landskap ekonomi yang tidak menentu yang disebabkan oleh dasar monetari agresif sebagai tindak balas kepada tekanan inflasi, sentimen pengguna yang tidak menentu serta isu-isu rantaian bekalan dan logistik yang berpanjangan akibat kebimbangan geopolitik. Kami akan terus mengguna pakai pengurusan kewangan yang berhemat dan pengoptimuman kos, serta meningkatkan kecekapan aset kami untuk membantu mengurangkan kesan-kesan daripada ekonomi global yang tidak menentu. Dengan penekanan pada strategi cekap dan pelaksanaan segera, kami mengharapkan peningkatan yang lebih kukuh dalam prestasi kami.

Secara aktif, Hektar REIT sedang mengurus struktur hutang dan modal kami dengan lebih cekap untuk mengurangkan kesan kenaikan kadar faedah, termasuk memastikan kecairan yang teguh dan asas pembiayaan yang pelbagai.

Pengagihan

Kami kekal komited untuk mengekalkan dasar pengagihan pada sekurang-kurangnya 90% daripada pendapatan boleh agih kami dan kami telah membuat pengumuman pada 3 Januari 2023 pengagihan pendapatan akhir sebanyak 5.3 sen seunit untuk suku keempat berakhir 31 Disember 2022, menjadikan jumlah pengagihan kami 8.0 sen seunit untuk tahun kewangan 2022.

Berdasarkan harga penutup 70 sen pada 31 Disember 2022, pengagihan seunit kami bersamaan dengan hasil kira-kira 11.4%. Pada akhir tahun 2022, Hektar REIT mempunyai lebih daripada 5,600 pemegang unit.

Cadangan Korporat

Kami telah mengumumkan pada 10 November 2022 bahawa Pengurus mencadangkan Hektar REIT untuk mewujudkan Pelan Pelaburan Semula Agihan Pendapatan (IDRP) yang menawarkan pemegang unit Hektar REIT ("Pemegang Unit") dengan pilihan untuk melabur semula, secara keseluruhan atau sebahagiannya, agihan tunai mereka yang diisytiharkan oleh Hektar REIT dalam unit baharu Hektar REIT. Jika Pemegang Unit memilih untuk tidak menyertai IDRP, maka bahagian yang dipilih akan dibayar secara tunai sepenuhnya.

IDRP akan membenarkan Hektar REIT menyimpan dana untuk modal kerja dan modal untuk kerja yang sedang dijalankan bagi membantu memudahkan operasi harian sedia ada Hektar REIT secara keseluruhan dengan menyediakan lebih fleksibiliti dari segi pengurusan aliran tunai.

Di samping itu, IDRP juga akan memberikan peluang kepada Pemegang Unit untuk melabur semula, secara keseluruhan atau sebahagian, agihan pendapatan mereka dalam unit baharu pada kadar diskaun berbanding harga pasaran sebagai ganti penerimaan wang tunai.

IDRP akan digunakan untuk pengagihan pendapatan akhir sebanyak 5.3 sen seunit bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2022, dengan bahagian boleh pilih kasar ditetapkan pada 5.3 sen seunit.

Kemampanan

Kemampanan terus menjadi keutamaan utama sepanjang tahun 2022 sementara kami bangkit daripada krisis. Kami telah memperhalusi isu-isu penting kami, mengukuhkan komitmen kami terhadap kecemerlangan perniagaan dan mengurus aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang paling diambil berat oleh pihak berkepentingan. Kami juga menyelaraskan faktor penting kami dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG) yang sepadan untuk memaksimumkan impak kami.

Hektar REIT kekal sebagai ahli konstituen Indeks FTSE 4Good Bursa Malaysia dan dalam penilaian Jun 2022, konduk ESG-nya telah diiktiraf dengan penarafan ESG 4 bintang oleh FTSE Russell. Kami sememangnya diinspirasikan dan digalakkan untuk meneruskan usaha kami dalam menambah baik inisiatif-inisiatif mengenai ketiga-tiga bidang teras Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus dan membenamkan prinsip-prinsip teras ini ke dalam DNA perniagaan kami.

Mengurangkan impak terhadap alam sekitar aset dan operasi kami kekal sebagai keutamaan kami. Kami telah berjaya mengurangkan jumlah keseluruhan pelepasan CO2e aset kami sebanyak kira-kira 10.8% kepada 23.0 juta kgCO2e pada tahun 2022 daripada 25.8 juta kgCO2e pada tahun 2019. Intensiti pelepasan daripada aset kami, yang dinyatakan sebagai jumlah CO2e yang dikeluarkan setiap keluasan lantai kasar (kgCO2e/kaki persegi), juga bertambah baik, iaitu pada 4.95 kgCO2e/kaki persegi berbanding dengan 5.53 kgCO2e/kaki persegi pada tahun 2019.

Komitmen kami terhadap prinsip ESG adalah berjangka panjang, kerana kami menyedari bahawa kami semua bertanggungjawab terhadap pihak berkepentingan kami. Melangkah ke hadapan, kami terus komited untuk memajukan lagi usaha kami dalam mengurus hal-hal kemampanan penting mengenai pemuliharaan alam sekitar yang merangkumi pengurangan dan penyesuaian perubahan iklim, pengurusan air dan sisa dan pengurusan penggunaan tenaga, termasuk menggabungkan tenaga boleh diperbaharui dalam pengurusan campuran tenaga.

Anugerah

Usaha penglibatan komuniti Hektar REIT pada tahun 2022 telah diiktiraf di Anugerah Kemampanan & CSR Malaysia di bawah kategori Inisiatif Penglibatan Pihak Berkepentingan & Kemampanan Komuniti - Syarikat Terbaik Tahunan. Saban tahun, Hektar REIT telah berganding bahu dengan banyak organisasi tempatan dan antarabangsa melalui pelbagai perkongsian dan kerjasama, memberikan sokongan kepada NGO dan program amal untuk menyokong masyarakat yang kurang bernasib baik dan terpinggir serta memajukan dan memperkasakan wanita untuk meningkatkan kebebasan kewangan mereka untuk manfaat keluarga.

Kami juga berbesar hati mengumumkan bahawa Hektar REIT telah menerima dua anugerah Perak pada Anugerah ESG The Edge Malaysia 2022 yang dianjurkan buat kali pertama pada 28 November 2022 di bawah kategori Peningkatan Prestasi Terbesar Dalam Tiga Tahun (untuk Permodalan Pasaran di bawah RM300M) dan Anugerah Sektor Hartanah & REIT. Anugerah tersebut bertujuan mengiktiraf dan memberikan penghormatan kepada syarikat-syarikat Malaysia atas komitmen mereka dalam membangun dan meningkatkan operasi perniagaan mereka berdasarkan prinsip-prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (“ESG”).

Kami berasa gembira kerana dianugerahkan anugerah berprestij ini, sebagai bukti dan pengiktirafan terhadap usaha kami dalam memacu inisiatif Kemampanan sejak kami memulakan fokus utama pada ketiga-tiga tonggak E, S dan G di seluruh organisasi pada tahun 2017.

Mengemudi Cabaran

Ekonomi global akan terus menghadapi cabaran besar yang disebabkan oleh kesan berpanjangan daripada tiga kuasa utama: pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, krisis kos sara hidup akibat tekanan inflasi yang berterusan dan meluas serta ekonomi China yang perlahan.

Di samping itu, pengetatan monetari yang agresif memang akan menjadi faktor penyumbang kepada prospek ekonomi global yang lebih lemah, dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menurunkan unjuran pertumbuhan global kepada 2.7% daripada 2.9% untuk tahun 2023 berbanding dengan 3.2% pada tahun 2022.

Namun begitu, trajektori pertumbuhan Malaysia dijangka bertambah baik berikutan peningkatan selanjutnya dalam pasaran buruh, sokongan dasar yang berterusan dan pengembangan dalam permintaan luar. Bank Negara Malaysia baru-baru ini telah mengulangi bahawa ekonomi Malaysia akan berkembang antara 4%-5% pada tahun 2023, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh di tengah-tengah peningkatan berterusan dalam pasaran buruh serta realisasi projek infrastruktur besar dan unjuran ketibaan pelancong yang lebih tinggi.

Walau bagaimanapun, pertumbuhan Malaysia kekal terdedah kepada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, penghindaran risiko yang lebih tinggi dalam pasaran kewangan global, konflik geopolitik yang semakin meningkat dan kemunculan semula gangguan rantaian bekalan.

Pasaran runcit juga dijangka kekal mencabar memandangkan terdapat lebihan bekalan ruang peruncitan dan landskap ekonomi yang tidak menentu. Oleh itu, kami akan terus bekerjasama rapat dengan penyewa untuk mengharungi cabaran dan menyokong kesejahteraan pihak berkepentingan kami. Kami amat berbesar hati dengan kesetiaan, keikhlasan dan kesediaan penyewa kami untuk bekerjasama di tengah-tengah kesukaran. Kami kekal komited untuk mencapai portfolio penghunian yang sihat dan pendapatan sewa yang mampan, sambil mengejar peluang pertumbuhan secara aktif.

Kami juga sedang meneroka cara untuk mencapai pertumbuhan secara aktif dengan memastikan portfolio jenama runcit yang kukuh di pusat beli-belah kami yang boleh mengoptimumkan pulangan yang mampan dan pendapatan yang boleh dipertahankan melalui pencampuran semula penyewaan yang aktif dan pemulihan dan pembaikan pusat beli-belah. Kami akan terus meninjau kaedah untuk menambah baik rupa dan keadaan pusat beli-belah kami sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk meningkatkan hasil portfolio kami. Demi menambah baik hasil dan pemulihan hutang pasca pandemik, pasukan kami berdaya usaha menjejaki prestasi berterusan penyewa untuk menstrukturkan penyewaan dan pembaharuan sewa kami dengan teliti, di samping meneliti strategi secara agresif untuk mengurus kutipan sewa.

Pusat beli-belah sedang berkembang menjadi tempat berpaksikan gaya hidup untuk orang ramai bertemu, bersosial, berinteraksi dan belajar. Kami yakin dan percaya ia akan kekal sebagai destinasi pilihan untuk hiburan, aktiviti sosial dan membeli-belah di kalangan rakyat Malaysia selagi pusat beli-belah kekal relevan. Bagaimanapun, pusat beli-belah masa depan yang berjaya mesti mempunyai pemahaman yang mendalam tentang kehendak dan keperluan pengguna, memandangkan gaya hidup mereka yang semakin berkembang. Oleh itu, kami sedang berusaha ke arah pendigitalan dan memahami lebih lanjut tingkah laku perbelanjaan pengguna untuk menawarkan pengalaman runcit terbaik kepada pelanggan dan pembeli setia kami. Kami juga sedang giat berusaha ke arah mengukuhkan inisiatif Pemasaran dan Penjenamaan kami untuk memacu trafik kembali ke pusat beli-belah kami. Ini telah membantu penyewa kami dengan ketara dan kebanyakan daripada mereka, dari segi prestasi jualan mereka, telah pulih sebanyak 90% daripada jualan pra-pandemik mereka.

Kami juga akan terus mengukuhkan kunci kira-kira melalui pengurusan berterusan modal yang berhemat dan proaktif. Dari segi kecairan, kami akan mengekalkan kunci kira-kira yang sihat dan mencukupi untuk memenuhi obligasi kewangan dan operasi kami.

Penghargaan

Dato' Hisham Othman telah bersara sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif pada 10 Jun 2022. Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kepimpinan beliau selama 6 tahun yang lalu dan mendoakan kejayaan dalam segala usaha beliau pada masa hadapan.

Bagi pihak Lembaga Pengarah, saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Puan Zarina Halim yang baru-baru ini meletakkan jawatan daripada Lembaga Pengarah kami pada 15 Januari 2023. Kami amat menghargai dedikasi dan sumbangan beliau selama ini.

Kami juga mengalu-alukan ahli Lembaga Pengarah baharu kami, Encik Wan Kamaruddin Bin Wan Mohamed Ali dan Puan Norliza Binti Suleiman, dan berharap dapat bekerjasama dengan mereka serta memanfaatkan kepakaran mereka dalam perkhidmatan kewangan dan kewangan korporat. Saya percaya bahawa pengalaman mereka adalah amat berharga kepada Lembaga Pengarah.

Saya ingin memberikan pengiktirafan kepada dedikasi dan ketabahan pasukan kami serta bimbingan daripada Lembaga Pengarah sepanjang tempoh yang mencabar ini. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak berkepentingan kami kerana sanggup mengharungi cabaran dan bekerjasama untuk mengatasi cabaran tahun ini.

Kami akan terus bekerja keras dan mengharapkan sokongan berterusan daripada semua pihak berkepentingan kami sementara kami berusaha untuk mengemudi Hektar REIT ke tahap yang lebih tinggi pada tahun 2023.

Johari Shukri bin Jamil
Pengarah Eksekutif & Ketua Pegawai Eksekutif